Thursday, February 2, 2012

PENDIDIKAN MAKRO DAN MIKRO

a)         1.         Fungsi – fungsi pendidikan secara makro terbahagi kepada 2 bahagian iaitu fungsionalisme dan konflik.

Fungsionalisme
  • Mengekalkan masyarakat : Secara makronya, pendidikan meliputi pandangan secara keseluruhannya. Maka pendidikan adalah salah satu cara untuk menyatu padukan dan mengekalkan sesebuah masyarakat itu dari hilang atau pupus.
  • Memberi persediaan kepada individu dari segi mental dan fizikal bagi mengisi kekosongan bidang – bidang tertentu. Ini adalah kerana setiap anggota masyarakat itu mempunyai fungsi dan kebolehan masing – masing. Kepetingan ini adalah bagi memenuhi keperluan industri, ekonomi mahupun kehidupan biasa (harian) kerana bidang pengkhususan yang berbagai dan berbeza.
  • Memperkembangkan nilai – nilai dan keupayaan intelektual untuk memainkan peranan dalam masyarakat : Pendidikan digunakan sebagai alat bagi menyebarkan nilai – nilai masyarakat itu kepada generasi muda secara formal. Jika nilai – nilai ini hanya diturunkan atau diajar oleh keluarga masing – masing secara informal, maklumat dan penilaian itu berbeza antara satu individu dengan yang lain. Apabila ianya diterapkan di sekolah melalui pendidikan formal, setiap anggota masyarakat itu mempunyai penilaian yang sama dan dapat mengurangkan konflik yang mungkin akan berlaku akibat dari perselisihan faham dan tahap penilaian yang berbeza.
  • Melahirkan pelajar yang sanggup berkongsi matlamat bagi memajukan mansyarakat : Melalui pendidikan, perkongsian maklumat menjadi amat pantas dan mudah diperolehi sama ada secara langsung atau tidak. Secara langsung adalah perkongsian maklumat melalui pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Manakala bagi perkongsian secara tidak langsung adalah sewaktu palajar bergaul dan berbual sesama mereka seterusnya maklumat tersebar dengan mudah dan pantas.
  • Dengan menyediakan rangka normatif dan kognitif dalam diri individu iaitu perancangan pendidikan yang melibatkan pembelajaran secara normal yang efektif dan berkesan tanpa membuang masa dan usaha. Selain itu juga ia dapat membantu perkembangan pemikiran lebih matang dan tahap ilmu pengetahuan tinggi.
  • Pendidikan sebagai alat mobiliti sosial : Faktor – faktor seperti kelas, kaum, dan gender hanya akan menjadi penghalang kepada kejayaan. Ketidak samaan adalah sifat semulajadi masyaraka. Seseorang individu itu mencapai tahap pencapaian berbeza hanyalah disebabkan oleh kecerdikan dan usaha yang tidak sama.
  • Penetapan pekerjaan yang sesuai bagi seseorang individu : Sistem gred dalam pendidikan telah menentukan pekerjaan apakah yang sesuai untuk seseorang individu itu. Apabila seseorang itu cerdik atau pandai maka pekerjaan yang memerlukan penggunaan akal yang lebih sangat sesuai bagi individu ini manakala jika sebaliknya pekerjaan yang melibatkan fizikal sangat sesuai baginya.

Konflik

  • Untuk capai tujuan ekonomi masyarakat : Bagi teori konflik, pendidikan moden telah memporak perandakan masyarakat. Namun begitu mereka sangat setuju pendidikan dapat mencapai status ekonomi yang tinggi dalam masyarakatnya.
  • Konflik pendidikan telah mengekalkan dan melebarkan lagi ketidak samaan sosial di kalangan ahli masyarakat.
  • Pendidikan digunakan sebagai alat untuk diabdikan atau dikembangkan dalam sistem kapitalis. Namun begitu mereka juga berpendapat pendidikan mengikat mereka kepada asas – asas sosial dan ekonomi masyarakat. Mereka bersetuju, semakin tinggi taraf mereka dalam bidang pendidikan, makin tinggi dominan kuasa mereka dalam sistem kapitalis iaitu sistem yang mengutamakan industri dan ekonomi. Oleh sebab itulah pendidikan tidak boleh digunakan sebagai alat untuk merubah masyarakat.
  • Menyediakan anak muda untuk dapat tempat dalam masyarakat : Ideologi kapitalis adalah untuk mengekalkan kelas dan kuasa seseorang itu. Kebijaksanaan bukanlah penentu kepada kejayaan kedudukan mereka di dalam masyarakat. Jika ingin mendapat tempat dalam masyarakat, mereka hendaklah mempunyai faktor kelas sosial, umur, jantina dan kaum. Bakat, kebolehan, pengalaman dan kelayakan tidak boleh dijadikan alat untuk mendapat tempat dalam masyarakat.
  • Reproduksi sistem pendidikan telah menggunakan 2 cara untuk disesuaikan dalam sistem kapitalis : Legitimasi telah mengesahkan ideologi saksama dan ideologi meritokrasi. Sosiolisasi melaksanakan sistem sosial moden yang perlu dikekalkan. Mereka tidak suka kepada kreativiti dan kespontanan. Itu akan menjejaskan kedudukan asal mereka. Mereka menggalakkan pengajaran yang menjadikan murid lebih rendah dan subordinat.
  • Mengekalkan status quo : Mereka menggunakan pendidikan sebagai tempat asas membentuk sikap hormat kepada autoriti, taat, disiplin dan menepati masa. Ianya adalah latihan sebagai seorang pekerja yang dikehendaki dalam sektor industri . kesamaan hak dalam mencungkil bakat dan potensi adalah ilusi dan bayangan semata.
  • Melatih remaja menjadi orang patuh dan menurut perintah : Mana – mana individu yang gagal tidak boleh menyalahkan mana – mana pihak kecuali menyalahkan dirinya sendiri (Amir Hassn, 2009). Pengikut konflik berpendapat sistem pendidikan hanyalah akan melahirkan pemberontak yang akan menentang mereka.
  • Mengajar status budaya : Sistem pendidikan dikatakan sebagai penghalang utama dalam menentukan kelompok yang mempunyai status tinggi dan paling ketara adalah apabila wujudnya sistem pensijilan. Pensijilan menentukan dan mengukur latar belakang dan status sosial individu. Seperti contoh doktor, mempunyai cara mereka bagi mengekalkan kelompok mereka sebagai golongan professional yang dapat menghalang campur tangan pihak dalam urusan kerja mereka dengan kuasa dominasi dan kemahiran yang mereka ada.

2.         Fungsi – fungsi pendidikan secara mikro.

            Pendidikan secara mikro memberi tumpuan kepada interaksionisme iaitu aksi, pergaulan, komunikasi dan interaksi sesama anggota masyarakat dengan lebih terperinci. Antaranya adalah :-

  • Sistem pendidikan ini meneliti aktiviti harian yang dilalui kumpulan yang lebih kecil dan spesifik iaitu guru, pelajar, nazir dan pentadbir yang boleh menjurus ke arah penambahbaikan.
  • Pendidikan mikro merupakan sistem yang bukan dipaksa kerana ia mempunyai kebebasan tersendiri terutamanya dalam menginterpretasikan pendapat sendiri dalam sesuatu situasi. Mana – mana kumpulan bebas menyuarakan pendapat masing – masing dalam isu pendidikan khasnya.
  • Interaksi sebagai cara menginterpretasi tingkah laku orang lain dengan kita : Pendidikan digunakan untuk memberi penjelasan mengenai sesuatu tingkah laku yang berlaku dalam situasi pergaulan antara masyarakat.
  • Menggunakan pendekatan subjektif untuk mereka mendefinisi sesuatu keadaan.

b)         Interaksi antara sekolah dan masyarakat dipenuhi oleh simbol atau simbolik yang mentafsir makna – makna dalam hubungan sosial manusia.

Prinsip asas teori yang mentafsir interaksi simbolik ialah :-

  • Manusia mempunyai keupayaan berfikir dan tidak sama dengan binatang.
  • Fikiran manusia matang melalui pergaulan, bersosialisasi dan interaksi sesama mereka.
  • Dalam interkasi sosial, manusia berupaya mengubahsuai dan mentafsir makna – makna serta simbol – simbol dalam perkataan dan bahasa berdasarkan situasi yang mereka hadapi.
  • Keupayaan manusia secara automatiknya adalah membuat modifikasi dan alterasi semasa mereka berinteraksi dengan diri sendiri.
  • Jalinan aksi dan interaksi yang telah membentuk sebuah kumpulan dan masyarakat itu.

Dalam teori interaksi simbol, pendekatan yang digunakan berkaitan dengan individu dan emosinya. Kajian mendapati individu, emosi, perlakuan dan tindak balas mereka dianalisa melalui interaksi sesama individu dalam proses sosial mereka. Interaksi yang dilalui hari – hari dapat menjana pemahaman dan peranan individu itu kerana dalam interaksi mereka banyak menggunakan simbol – simbol, tanda – tanda, isyarat dan kata – kata.

Melalui interaksi simbol ini, individu akan memperlihatkan emosi sama ada suka atau duka, gelisah atau tenang (melalui perlakuan fizikal), mimik muka dan kata – kata. Kemudian mereka mengintepretasi situasi, bertindak dan mencipta serta mengubah sesuatu situasi itu kepada situasi yang mereka kehendaki.

Dari aspek perkataan contohnya, simbol atau simbolik itu dipenuhi dengan kiasan. Kadangkala terlalu banyak kiasan boleh menimbulkan kekeliruan dan konflik dalam masyarakat kerana tidak semua perkataan bentuk kiasan di fahami, dinilai dan diterima secara saksama antara individu dalam satu situasi itu. Seperti contoh untuk menerangkan suatu kesalahan itu, guru berkias agar pelajar tidak berasa sakit hati dengan teguran guru. Namun begitu tidak semua pelajar akan beranggapan begitu.

Dari aspek bahasa pula, boleh dikatakan Bahasa Melayu menggunakan banyak simbol dan simbolik terutamanya dalam Bahasa Melayu klasik, di dalam puisi, dalam ceritera dan hikayat Melayu klasik dan kitab – kitab lama.

Simbol – simbol dalam interaksi banyak digunakan dalam sekolah kerana ia digunakan untuk menganalisa secara terperinci mengenai individu pelajar dan emosi mereka agar perlakuan dan tindak balas pelajar mengenai sesuatu situasi itu boleh diramal.

1 comment:

  1. warna perkataan dengan background yang menyakit mata

    ReplyDelete