Thursday, February 2, 2012

KESALAHAN DAN DISIPLIN PELAJAR

JENIS KESALAHAN DISIPLIN PELAJAR SEKOLAH

Kredit kepada pelukis


Disiplin adalah satu bentuk pengurusan tingkah laku. Maka disiplin yang baik adalah mengikut peraturan seperti contoh peraturan sekolah,. Jika pelajar itu disebut sebagai mempunyai masalah disiplin adalah berkaitan dengan pelanggaran peraturan – peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah.
                                           
Masalah disiplin sering dikaitkan dengan remaja dan pelajar sekolah. Ini adalah kerana pada peringkat ini remaja atau pelajar sedang mengalami kekeliruan dan tekanan luar dalam mencari identiti diri mereka sendiri. Mereka secara keseluruhannya mudah terpengaruh dengan anasir-anasir negatif akibat kurangnya atau keterlaluannya penjagaan dan kawalan dari orang dewasa.

Kadangkala aktiviti cuba jaya mereka mengenai perkara apakah yang mereka suka lakukan atau mencari apakah yang matlamat kehidupan mereka antara yang menjadi punca berlakunya masalah disiplin di kalangan remaja dan pelajar sekolah secara spesifiknya.

Antara cara – cara mengatasi masalah disiplin ialah dengan penggunaan konsep pencegahan, penguatkuasaan dan pemulihan.

Jenis Kesalahan
Ciri – Ciri Dan Contoh Kesalahan
Cara –Cara Mengatasinya.
Kesalahan Kecil
Berpunca dari :-
1.          Keinginan diri sendiri pelajar (termasuk faktor ketahanan dan daya uji diri sendiri)
2.          Hubungan keluarga yang kurang baik : Perlakuan biasanya dilakukan secara sengaja tanda protes terhadap ibu bapa, ahli keluarga, guru atau pihak sekolah.
3.          Pergaulan sesama rakan sebaya : remaja pada peringkat ini mengalami proses mengenali rakan sejenis mahupun berlainan jantina. Kebanyakan masa mereka dihabiskan bersama-sama rakan membincangkan isu kehidupan mereka.
4.          Sikap guru – pelajar rasa tersisih dengan sikap guru yang pilih kasih atau menyinggung perasaan mereka.
5.          Persekitaran sekolah yang tidak menarik dan membosankan pelajar membuatkan mereka ingin mencuba sesuatu yang baru.

Contoh kesalahan kecil adalah ;- tidak menyiapkan kerja sekolah, membuat bising yang keterlaluan, mengganggu pelajar lain dan pengurusan masa yang tidak teratur.
Pencegahan : Bina hubungan dengan pelajar.
  • Memahami mengapa perkara tersebut tidak boleh dilakukan
  • Hayati disiplin
  • Penerapan integriti
  • Pembudayaan ; mencipta satu budaya yang menyeronokkan maka dapat mengelakkan pelajar dari melakukan kesalahan kecil seterusnya menumpukan perhatian terhadap perkara yang lebih penting.

Kesalahan sederhana
Ia melibatkan pelanggaran peraturan yang ditetapkan oleh pihak pengurusan sekolah :-
1.          Menceroboh kawasan larangan seperti kawasan asrama perempuan bagi pelajar lelaki begitu juga sebaliknya.
2.          Menceroboh kawasan akademik atau pentadbiran semasa waktu larangan.
3.          Merosakkan atau menyalahgunakan kemudahan dan harta benda sekolah
4.          Biadap dan berkelakuan tidak sopan terhadap guru, kakitangan atau tetamu yang boleh menjejaskan nama baik sekolah, guru atau pelajar sendiri.
5.          Ingkar arahan guru atau pihak lain yang menjalankan tanggungjawab atau tugas mereka.
Pemulihan :-
Contoh tindakan yang boleh dilaksanakan sambil melihat contoh dari MRSM Pendang :-
1.          Digantung persekolahan selama tidak lebih dari 7 hari, atau
2.          Dikenakan tahanan terhad selama 4 minggu iaitu tidak dibenarkan meninggalkan kawasan sekolah.
3.          Tidak boleh menyertai mana – mana aktiviti luar sekolah malah,
4.          Tidak dibenarkan bermalam di rumah kecuali kecemasan.
Kesalahan berat
Kesalahan ini jatuh dalam kategori kes secara amnya dianggap kesalahan besar dan ada diantaranya yang jatuh dalam kategori kes jenayah.

Contoh kesalahan yang dikategorikan dalam kesalahan berat adalah ;-

1.          Menyimpan, memiliki, mengguna, mengedar atau membekal sebarang jenis bahan berkaitan tembakau.
2.          Menyimpan, memiliki, mengguna, mengedar atau membekal sebarang jenis bahan berkaitan jenis minuman keras (alkohol)
3.          Menyimpan, memiliki, mengguna, mengedar atau membekal sebarang senjata pisau atau alatan yang boleh membahayakan.
4.          Menyimpan, memiliki, mengguna, mengedar atau membekal sebarang bahan lucah, ganas atau tidak bermoral.
5.          Menyiar, mencetak, membuka laman web serta menyebar maklumat yang mengandungi bahan lucah, ganas dan tidak bermoral.
6.          Bekerjasama dalam pertubuhan haram
7.          Memeras ugut menggunakan ancaman atau tekanan keselamatan dari pihak lain.
8.          Berjudi dan terlibat dalam kegiatan perjudian loteri atau pertaruhan wang.
9.          Berkhalwat atau berpasangan dalam keadaan bercumbu – cumbuan,  sumbang atau mencurigakan
10.      Memecah atau menceroboh masuk sesuatu premis serta mencuri harta benda/wang/maklumat/dokumen.
11.      Mencuri atau mengambil mencuri harta benda/wang/maklumat/dokumen melebihi RM50.00.
12.      Memalsukan dokumen dan maklumat.
13.      Melakukan apa jua aktiviti yang boleh ditafsirkan sebagai perlakuan gangguan seks (sexual harrasment).
14.      Melakukan kesalahan sederhana sebanyak 2 kali atau lebih.
Penguatkuasaan peraturan oleh Pengetua, guru disiplin, guru bimbingan kauseling, guru dan pengawas sekolah.

Cadangan menghentikan pengajian pelajar dari sekolah tersebut;
1.      Digantung sekolah selama 2 minggu sementara menunggu keputusan ’Ditamatkan Pengajian’ oleh oihak pentadbir sekolah.
2.      Jika hukuman itu ditolak, pelajar hendaklah dipanggil meneruskan pengajian dan hukuman gantung persekolahan hendaklah dianggap terlaksana.
  • Digantung persekolahan selama 1 atau 2 minggu
  • Rotan secara tertutup dengan hukuman maksimum 2 kali
  • Tahanan dalam sekolah/asrama selama 6 minggu dengan menjalankan aktiviti berikut ;
1.          Tidak dibenarkan keluar dari kawasan sekolah
2.          Tidak dibenarkan balik ke rumah bermalam (kecuali kecemasan)
3.          Tidak dibenarkan mengikuti, turut serta, atau mewakili sekolah dalam apa jua aktiviti oleh pihak sekolah.
4.          Mesti melaporkan diri di Pondok Pengawal yang ada di luar sekolah.

Pelajar boleh diarahkan untuk menjalankan kerja-kerja ’community service’;
  • 4 jam sehari selama 2 hari berturut-turut pada hujung minggu atau 2 jam pada hujung minggu.
  • Dilakukan secara individu / kumpulan
  • Guru/kakitangan hendaklah menyelia pelajar tersebut
  • Kerja-kerja bakti termasuk mencuci longkang, membersih bilik air, mencuci tandas, mencabut rumput dan menyapu sampah.

KOD ETIKA PERGURUAN MALAYSIA

Guru aktif mencermin budaya kerja yang cemerlang


Dapatkan kod etika perguruan Malaysia dan buat interpretasi mengenainya.

Profession perguruan mempunyai matlamat untuk membentuk insan dan ihsan manusia yang sempurna dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmaninya. Guru juga berperanan menyediakan seorang individu itu tentang peranan dan tanggungjawabnya di dalam masyarakat demi mencapai kesempurnaan dan kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat seterusnya membantu negara mencapai kemajuan.

Dari pendapat keagamaan, seorang guru itu setaraf dan seangkatan dengan pemimpin dan ketua masyarakat kerana guru berperanan mendidik dan membimbing ahli masyarakat lain ke arah jalan yang benar dan tidak terpesong dari landasan kehidupan yang baik. Pekerjaan ini juga dianggap satu ibadah.
             
Guru seharusnya menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh dedikasi, tidak mementingkan diri sendiri dan memilih tugas. Ciri-ciri ini penting kerana tugas guru berkait rapat dengan mutu pendidikan di mana dalam pengajaran, jika guru lakukan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh, ia akan menarik minat pelajar untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh.
           
Oleh kerana setiap tindakan dan tingkah laku guru akan menjadi perhatian dan ikutan pelajar, ia memerlukan tindakan yang penuh perhatian yang teliti dan berhati-hati. Kementerian Pelajaran Malaysia telah menetapkan garis panduan atau kod etika perguruan di Malaysia agar para guru tidak lari dari landasan serta tidak melakukan tindakan yang tidak wajar. Etika perguruan adalah satu set tingkah laku atau tanggungjawab guru terhadap masyarakat dan negara, pelajar, rakan sejawat dan ibu bapa.

Antara kod etika yang telah ditetapkan adalah :-
1)         Guru tidaklah harus bertingkah laku begitu rupa sehingga boleh mencemarkan sifat profesionalnya dan yang akan menyebabkan hilang kepercayaan orang ramai terhadap profesion perguruan.
Pernyataan diatas telah membawa maksud bahawa setiap tindak tanduk dan sikap guru lakukan mendapat perhatian masyarakat sekeliling terutama pelajar dan ibu bapa. Adalah amat penting bagi seorang guru agar menjaga perlakuan agar tidak menccemarkan kredibiliti keguruannya sehingga boleh menghilangkan kepercayaan masyarakat terhadap nilai-nilai murni seorang guru yang membawa tanggungjawab mendidik anak bangsa supaya bertingkah laku baik dan berakhlak mulia. Jika guru gagal, seluruh masyarakat tidak akan mempercayai guru dalam membantu ibu bapa mendidik anak-anak mereka.
2)         Guru tidaklah harus bertingkahlaku begitu rupa yang boleh membawa kepada jatuhnya maruah diri dan kehilangan  amanah berhubung dengan kewangan : Etika ini adalah melibatkan sikap dan prinsip hidup seorang guru apabila memegang sesuatu amanah terutamanya yang melibatkan kewangan. Seorang guru selain daripada mengajar dan mendidik, ada kalanya guru juga akan melakukan tugas mengutip yuran sekolah dan sebagainya. Dalam memegang amanah melibatkan wang, guru mestilah bersikap jujur, berhati-hati dan tidak lalai. Ini adalah kerana kesilapan yang kecil akibat kecuaian juga boleh membuang kepercayaan pelajar dan ibu bapa berhubung kewangan terhadap guru tersebut. Sukar bagi mereka untuk mengamanahkan anak mereka kepada seorang guru yang tidak jujur dan lalai.
3)         Dalam semua hubungan dan tugas, guru hendaklah menjalankannya dengan jujur : Ini bermakna ketika guru sedang melakukan tugas dan bergaul dengan pelajar, guru hendaklah berlaku jujur tanpa melakukan sesuatu itu dengan niat untuk mendapat ganjaran, nama mahupun populariti dikalangan pelajar. Jujur dalam memberi perlindungan kepada pelajar dan tidak pernah sekali cuba untuk mempergunakan hubungan baiknya untuk kesenangan peribadinya.
4)         Tanggungjawab utama guru adalah terhadap anak muridnya.  Kepentingan murid mengatasi semua kepentingan lain seperti kepentingan masyarakat, persatuan atau persendirian.
Apabila berlakunya konflik atau kekeliruan yang memerlukan guru membuat keputusan antara pelajar, persatuan yang diikuti oleh guru ataupun kehendak persendirian, keputusan yang perlu guru ambil pelajar menjadi perkara utama perlu guru dahulukan. Ini adalah kerana sudah menjadi tanggungjawab seorag guru itu untuk melindungi dan menjaga kepentingan pelajarnya terutama ketika disekolah. Sewaktu guru sedang menjalankan tugas, perkara lain harus di ketepikan buat sementara waktu agar guru dapat memberi perhatian sepenuhnya kepada pelajar.
5)         Guru haruslah menumpukan perhatian dan memberi pengajaran kepada setiap muridnya tak mengira bangsa, agama dan kepercayaannya.
Guru mestilah tidak mengamalkan sikap pilih kasih sesama kaum dan agama mengikut keselesaannya. Seperti contoh Cikgu Azman seorang berbangsa Melayu dan beragama Islam, maka Cikgu Azman mengajar dan memberi tumpuan kepada pelajar Melayu sahaja kerana berpendapat beliau mahu membela nasib bangsa sendiri tanpa mengambil peduli kaum lain yang dirasakan lebih pandai berbanding pelajar Melayu. Sikap yang ditonjolkan ini boleh menimbulkan konflik dan perasaan tidak puas hati di kalangan pelajar-pelajar bangsa Cina dan India.
6)         Guru haruslah bertugas sebagai ’pengganti ibu bapa’ dalam usaha membentuk tingkah laku murid ke arah matlamat yang diterima oleh masyarakat :   sebaik sahaja pelajar melangkah kaki ke sekolah, guru adalah merupakan orang paling tua dan orang yang paling diharapkan untuk menjaga, mengasuh dan mendidik pelajar kerana pada waktu persekolahan, ibu bapa sebenar keluar bekerja dan tidak dapat menumpukan perhatian pada anak mereka. Seorang guru yang baik adalah seorang yang melayan pelajarnya seperti anak sendiri agar pelajar tidak merasa tersisih dan dapat menikmati kasih sayang yang mungkin tidak diperolehi ketika di rumah.
7)         Guru haruslah mendidik dan mengambil tindakan secara adil terhadap semua murid tidak kira bangsa, warna kulit, jantina, bahasa, agama, kepercayaan politik, tempat asal, keturunan, daya intelek dan lain-lain : guru mesti melayan dan menyempurnakan tugasnya sama rata. Dalam mengajar juga, ilmu pengetahuan dicurahkan sama rata tanpa mengira status pelajar dihadapannya. Semua pelajar memerlukan ilmu pengetahuan yang sama sama ada dari mana dan siapa pelajar tersebut kerana mereka datang ke sekolah dengan tujuan yang sama iaitu menuntut ilmu.
      8)         Guru haruslah mengesan, menerima perbezaan individu di kalangan muridnya dan membimbing mereka memperkembangkan potensi mereka dari segi jasmani, intelek, daya cipta dan lain-lain : semasa mengajar guru harus peka bahawa pelajar adalah individu yang berbeza antara satu sama lain dari segi pembelajaran dan pemahamannya. Guru harus peka dan sentiasa prihatin dengan setiap pelajar agar tiada yang tertinggal dalam membantu mereka menonjolkan potensinya. 
9)         Guru haruslah menghormati hak setiap murid supaya maklumat sulit mengenai diri murid tidak diberitahu kepada orang atau agensi yang tidak berkenaan : guru sebagai seorang pemegang amanah dan seorang yang boleh dipercayai selepas ibu bapa bagi pelajar itu. Maka apa sahaja maklumat mengenai pelajar tidak boleh didedahkan sama sekali terutama jika maklumat itu boleh memalukan dan mengaibkan pelajarnya.
      10)       Guru tidaklah harus menanam sikap yang boleh merosakkan kepentingan murid, masyarakat atau negara : guru tidak boleh bersikap tidak mempedulikan pelajarnya dan seterusnya tidak mementingkan kehendak masyarakat dan mencapai matlamat negara.
      11)       Guru haruslah menanamkan sikap yang baik terhadap semua muridnya supaya mereka dapat berkembang menjadi warganegara yang taat dan berguna : melengkapkan pelajar dengan membimbing mereka ke arah dan tujuan yang baik sekaligus dapat melahirkan warganegara yang baik dan sedia memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara.
      12)       Guru tidaklah harus menyatakan atau membuat sesuatu yang boleh mengurangkan keyakinan diri murid dan ibubapa terhadapnya : guru harus menjaga dan menyusun katanya dengan baik agar apa sahaja perkataan yang keluar dari guru tidak disalah erti dan menimbulkan rasa curiga kepada pelajar-pelajar mahupun ibu bapa. Ini boleh menjatuhkan maruah dan merendahkan martabat guru itu sendiri.
13)       Guru haruslah bertingkahlaku begitu rupa supaya menjadi contoh baik atau 'role model' kepada muridnya : guru sentiasa harus menunjukkan tingkah laku yang baik dan bernilai murni agar dapat memberi contoh atau model yang baik kepada pelajarnya. Ia juga adalah untuk menjaga nama baik guru dan professionnya.
14)       Guru tidak harus menerima apa-apa bayaran daripada muridnya untuk pelajaran atau pengajaran tambahan yang dijalankan semasa waktu sekolah atau cuti sekolah melainkan bayaran yang disahkan : tuisyen atau kelas tambahan persendirian yang mahu guru lakukan adalah mesti bertujuan untuk membantu pelajar meningkatkan prestasi dan mengatasi kelemahannya bukan untuk guru menambah pendapatan luar waktu sekolah. Apa sahaja pendapatan yang diperolehi daripada pengajaran adalah dilarang. Ini adalah bagi menjaga kredibiliti seorang guru yang berpekerti mulia.
      15)       Guru tidaklah harus mengiklankan dirinya untuk kerja tuisyen atau pengajaran persendirian : menerima bayaran untuk kelas tambahan adalah dilarang, apatah lagi mengiklankan dirinya untuk apa-apa kelas tuisyen anjurannya. Dengan erti kata lain guru dilarang meletakkan namanya dalam apa-apa iklan berkaitan agar guru tidak menimbulkan syak wasangka masyarakat sekeliling.
16)       Guru tidaklah harus memaksakan kepercayaan, keagamaan, politik persendirian terhadap muridnya : sudah tertakluk dalam perlembagaan negara bahawa rakyatnya adalah bebas menganut mana-mana agama. Oleh sebab itu guru tidak harus memaksa mahupun mempengaruhi pelajarnya agar mempercayai apa yang guru percaya. Guru harus berada di pihak yang neutral agar beri peluang pelajar agar mereka menilai dan memilih kepercayaan sendiri apakah yang terbaik untuk diri mereka sendiri. Guru hanya boleh memberi panduan selebihnya murid perlu membuat keputusan sendiri.
17)       Guru tidaklah harus meminta atau menerima hadiah daripada ibubapa atau ahli masyarakat dalam menjalankan tugas profesionalnya : setiap tugas dan tanggungjawab yang dijalankan hendaklah ikhlas tanpa mengharapkan atau meminta balasan daripada ibu bapa mahupun masyarakat.
18)       Guru tidaklah harus menjatuhkan nama baik guru lain : ini bermaksud bahawa dalam pergaulan juga guru harus menjaga nama baik sesama rakan setugas agar nama baik dan maruah guru tidak tercalar di kalangan pelajar.
19)       Guru haruslah menggunakan cara yang sahaja (iaitu berdasarkan kecekapan) untuk tujuan kenaikan pangkat atau untuk mendapat pekerjaan : guru sentiasa mengemaskini kecekapan dan cara bekerja agar dapat peluang yang sama unutk meningkatkan diri dan taraf pekerjaannya. Menggunakan kemahiran untuk naik pangkat bukan dengan cara mengampu pentadbir sekolah.
20)       Guru tidaklah harus mengiklankan dirinya dengan cara membesar-besarkan namanya untuk mendapatkan sesuatu pangkat dalam profesion perguruan : tugas guru yang utama adalah mengajar dan mendidik pelajar. Guru harus mengutamakan pelajar berbanding dirinya. Adalah dilarang sama sekali guru melampaui pelajarnya dengan berlumba-lumba menempa nama. Seharusnya guru membantu menaikkan nama pelajar bukan untuk kebaikan dirinya.

PENDIDIKAN MAKRO DAN MIKRO

a)         1.         Fungsi – fungsi pendidikan secara makro terbahagi kepada 2 bahagian iaitu fungsionalisme dan konflik.

Fungsionalisme
  • Mengekalkan masyarakat : Secara makronya, pendidikan meliputi pandangan secara keseluruhannya. Maka pendidikan adalah salah satu cara untuk menyatu padukan dan mengekalkan sesebuah masyarakat itu dari hilang atau pupus.
  • Memberi persediaan kepada individu dari segi mental dan fizikal bagi mengisi kekosongan bidang – bidang tertentu. Ini adalah kerana setiap anggota masyarakat itu mempunyai fungsi dan kebolehan masing – masing. Kepetingan ini adalah bagi memenuhi keperluan industri, ekonomi mahupun kehidupan biasa (harian) kerana bidang pengkhususan yang berbagai dan berbeza.
  • Memperkembangkan nilai – nilai dan keupayaan intelektual untuk memainkan peranan dalam masyarakat : Pendidikan digunakan sebagai alat bagi menyebarkan nilai – nilai masyarakat itu kepada generasi muda secara formal. Jika nilai – nilai ini hanya diturunkan atau diajar oleh keluarga masing – masing secara informal, maklumat dan penilaian itu berbeza antara satu individu dengan yang lain. Apabila ianya diterapkan di sekolah melalui pendidikan formal, setiap anggota masyarakat itu mempunyai penilaian yang sama dan dapat mengurangkan konflik yang mungkin akan berlaku akibat dari perselisihan faham dan tahap penilaian yang berbeza.
  • Melahirkan pelajar yang sanggup berkongsi matlamat bagi memajukan mansyarakat : Melalui pendidikan, perkongsian maklumat menjadi amat pantas dan mudah diperolehi sama ada secara langsung atau tidak. Secara langsung adalah perkongsian maklumat melalui pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Manakala bagi perkongsian secara tidak langsung adalah sewaktu palajar bergaul dan berbual sesama mereka seterusnya maklumat tersebar dengan mudah dan pantas.
  • Dengan menyediakan rangka normatif dan kognitif dalam diri individu iaitu perancangan pendidikan yang melibatkan pembelajaran secara normal yang efektif dan berkesan tanpa membuang masa dan usaha. Selain itu juga ia dapat membantu perkembangan pemikiran lebih matang dan tahap ilmu pengetahuan tinggi.
  • Pendidikan sebagai alat mobiliti sosial : Faktor – faktor seperti kelas, kaum, dan gender hanya akan menjadi penghalang kepada kejayaan. Ketidak samaan adalah sifat semulajadi masyaraka. Seseorang individu itu mencapai tahap pencapaian berbeza hanyalah disebabkan oleh kecerdikan dan usaha yang tidak sama.
  • Penetapan pekerjaan yang sesuai bagi seseorang individu : Sistem gred dalam pendidikan telah menentukan pekerjaan apakah yang sesuai untuk seseorang individu itu. Apabila seseorang itu cerdik atau pandai maka pekerjaan yang memerlukan penggunaan akal yang lebih sangat sesuai bagi individu ini manakala jika sebaliknya pekerjaan yang melibatkan fizikal sangat sesuai baginya.

Konflik

  • Untuk capai tujuan ekonomi masyarakat : Bagi teori konflik, pendidikan moden telah memporak perandakan masyarakat. Namun begitu mereka sangat setuju pendidikan dapat mencapai status ekonomi yang tinggi dalam masyarakatnya.
  • Konflik pendidikan telah mengekalkan dan melebarkan lagi ketidak samaan sosial di kalangan ahli masyarakat.
  • Pendidikan digunakan sebagai alat untuk diabdikan atau dikembangkan dalam sistem kapitalis. Namun begitu mereka juga berpendapat pendidikan mengikat mereka kepada asas – asas sosial dan ekonomi masyarakat. Mereka bersetuju, semakin tinggi taraf mereka dalam bidang pendidikan, makin tinggi dominan kuasa mereka dalam sistem kapitalis iaitu sistem yang mengutamakan industri dan ekonomi. Oleh sebab itulah pendidikan tidak boleh digunakan sebagai alat untuk merubah masyarakat.
  • Menyediakan anak muda untuk dapat tempat dalam masyarakat : Ideologi kapitalis adalah untuk mengekalkan kelas dan kuasa seseorang itu. Kebijaksanaan bukanlah penentu kepada kejayaan kedudukan mereka di dalam masyarakat. Jika ingin mendapat tempat dalam masyarakat, mereka hendaklah mempunyai faktor kelas sosial, umur, jantina dan kaum. Bakat, kebolehan, pengalaman dan kelayakan tidak boleh dijadikan alat untuk mendapat tempat dalam masyarakat.
  • Reproduksi sistem pendidikan telah menggunakan 2 cara untuk disesuaikan dalam sistem kapitalis : Legitimasi telah mengesahkan ideologi saksama dan ideologi meritokrasi. Sosiolisasi melaksanakan sistem sosial moden yang perlu dikekalkan. Mereka tidak suka kepada kreativiti dan kespontanan. Itu akan menjejaskan kedudukan asal mereka. Mereka menggalakkan pengajaran yang menjadikan murid lebih rendah dan subordinat.
  • Mengekalkan status quo : Mereka menggunakan pendidikan sebagai tempat asas membentuk sikap hormat kepada autoriti, taat, disiplin dan menepati masa. Ianya adalah latihan sebagai seorang pekerja yang dikehendaki dalam sektor industri . kesamaan hak dalam mencungkil bakat dan potensi adalah ilusi dan bayangan semata.
  • Melatih remaja menjadi orang patuh dan menurut perintah : Mana – mana individu yang gagal tidak boleh menyalahkan mana – mana pihak kecuali menyalahkan dirinya sendiri (Amir Hassn, 2009). Pengikut konflik berpendapat sistem pendidikan hanyalah akan melahirkan pemberontak yang akan menentang mereka.
  • Mengajar status budaya : Sistem pendidikan dikatakan sebagai penghalang utama dalam menentukan kelompok yang mempunyai status tinggi dan paling ketara adalah apabila wujudnya sistem pensijilan. Pensijilan menentukan dan mengukur latar belakang dan status sosial individu. Seperti contoh doktor, mempunyai cara mereka bagi mengekalkan kelompok mereka sebagai golongan professional yang dapat menghalang campur tangan pihak dalam urusan kerja mereka dengan kuasa dominasi dan kemahiran yang mereka ada.

2.         Fungsi – fungsi pendidikan secara mikro.

            Pendidikan secara mikro memberi tumpuan kepada interaksionisme iaitu aksi, pergaulan, komunikasi dan interaksi sesama anggota masyarakat dengan lebih terperinci. Antaranya adalah :-

  • Sistem pendidikan ini meneliti aktiviti harian yang dilalui kumpulan yang lebih kecil dan spesifik iaitu guru, pelajar, nazir dan pentadbir yang boleh menjurus ke arah penambahbaikan.
  • Pendidikan mikro merupakan sistem yang bukan dipaksa kerana ia mempunyai kebebasan tersendiri terutamanya dalam menginterpretasikan pendapat sendiri dalam sesuatu situasi. Mana – mana kumpulan bebas menyuarakan pendapat masing – masing dalam isu pendidikan khasnya.
  • Interaksi sebagai cara menginterpretasi tingkah laku orang lain dengan kita : Pendidikan digunakan untuk memberi penjelasan mengenai sesuatu tingkah laku yang berlaku dalam situasi pergaulan antara masyarakat.
  • Menggunakan pendekatan subjektif untuk mereka mendefinisi sesuatu keadaan.

b)         Interaksi antara sekolah dan masyarakat dipenuhi oleh simbol atau simbolik yang mentafsir makna – makna dalam hubungan sosial manusia.

Prinsip asas teori yang mentafsir interaksi simbolik ialah :-

  • Manusia mempunyai keupayaan berfikir dan tidak sama dengan binatang.
  • Fikiran manusia matang melalui pergaulan, bersosialisasi dan interaksi sesama mereka.
  • Dalam interkasi sosial, manusia berupaya mengubahsuai dan mentafsir makna – makna serta simbol – simbol dalam perkataan dan bahasa berdasarkan situasi yang mereka hadapi.
  • Keupayaan manusia secara automatiknya adalah membuat modifikasi dan alterasi semasa mereka berinteraksi dengan diri sendiri.
  • Jalinan aksi dan interaksi yang telah membentuk sebuah kumpulan dan masyarakat itu.

Dalam teori interaksi simbol, pendekatan yang digunakan berkaitan dengan individu dan emosinya. Kajian mendapati individu, emosi, perlakuan dan tindak balas mereka dianalisa melalui interaksi sesama individu dalam proses sosial mereka. Interaksi yang dilalui hari – hari dapat menjana pemahaman dan peranan individu itu kerana dalam interaksi mereka banyak menggunakan simbol – simbol, tanda – tanda, isyarat dan kata – kata.

Melalui interaksi simbol ini, individu akan memperlihatkan emosi sama ada suka atau duka, gelisah atau tenang (melalui perlakuan fizikal), mimik muka dan kata – kata. Kemudian mereka mengintepretasi situasi, bertindak dan mencipta serta mengubah sesuatu situasi itu kepada situasi yang mereka kehendaki.

Dari aspek perkataan contohnya, simbol atau simbolik itu dipenuhi dengan kiasan. Kadangkala terlalu banyak kiasan boleh menimbulkan kekeliruan dan konflik dalam masyarakat kerana tidak semua perkataan bentuk kiasan di fahami, dinilai dan diterima secara saksama antara individu dalam satu situasi itu. Seperti contoh untuk menerangkan suatu kesalahan itu, guru berkias agar pelajar tidak berasa sakit hati dengan teguran guru. Namun begitu tidak semua pelajar akan beranggapan begitu.

Dari aspek bahasa pula, boleh dikatakan Bahasa Melayu menggunakan banyak simbol dan simbolik terutamanya dalam Bahasa Melayu klasik, di dalam puisi, dalam ceritera dan hikayat Melayu klasik dan kitab – kitab lama.

Simbol – simbol dalam interaksi banyak digunakan dalam sekolah kerana ia digunakan untuk menganalisa secara terperinci mengenai individu pelajar dan emosi mereka agar perlakuan dan tindak balas pelajar mengenai sesuatu situasi itu boleh diramal.

KUMPULAN SOSIAL MALAYSIA

Guru juga terdiri daripada bangsa dan latar belakang yang berbeza. persamaa kami adalah mendidik anak bangsa sehingga berjaya

Terdapat kumpulan-kumpulan yang berinteraksi antara satu sama lain. Setiap kumpulan mempunyai ciri-ciri yang mempunyai perbezaan dengan kumpulan lain. Perbezaan dan persamaan antara kumpulan dengan kumpulan lain. Perbezaan dan persamaan antara kumpulan membolehkan interaksi sosial berlaku dengan dinamik. Huraikan ciri-ciri perbezaan antara kumpulan-kumpulan sosial berikut :

a) Kumpulan Etnik

Istilah etnik datang daripada bahasa Yunani iaitu Etnos yang membawa maksud orang. Satu kumpulan etnik di tafsirkan secara sosial berdasarkan ciri-ciri budayanya. Kemudian ia mempunyai sifat etnisiti yang mempunyai sikap kekitaan yang kuat dimana masyarakatnya di satukan dengan satu ikatan sejarah, sikap, nilai dan tingkah laku yang sama.

Setiap satu etnik dapat dibezakan dalam ciri-ciri budaya seperti adat resam, pola keluarga atau latar belakang susul galur nenek moyang , pakaian, bahasa tradisi, pandangan tentang kecantikan, orientasi politik, kegiatan ekonomi, struktur adat istiadat dan hiburan.

Contoh kumpulan etnik yang terdapat di Malaysia adalah Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun, Melanau dan Iban. Pada dasarnya setiap kumpulan etnik ini bersikap etnosentrik iaitu menganggap ciri-ciri dan amalan budaya mereka sebagai wajar, betul dan lebih utama berbanding etnik yang lain. Kadangkala mereka akan memandang budaya etnik lain sebagai bernilai rendah, tidak penting, ganjil dan tidak bermoral. Namun begitu, kumpulan – kumpulan ini di satukan dibawah sistem politik yang sama dimana penerapan budaya hormat - menghormati dan perpaduan telah berjaya menghapuskan sikap mementingkan kaum sendiri dan menghina kumpulan etnik yang lain.

Kumpulan-kumpulan etnik juga boleh di bezakan melalui ciri – ciri rasnya iaitu ciri – ciri fizikal dalam kelompok manusia. Ciri – ciri paling ketara bagi membezakan sesuatu kumpulan etnik itu adalah warna kulit. Seperti contoh orang Melayu mempunyai kulit sawo matang manakala orang Cina mempunyai kulit yang cerah.

Etnik, menurut kamus dewan boleh ditafsirkan sebagai bangsa manusia dimana ia tidak memaksa perubahan terhadap kepercayaan agama atau unsur sesuatu kaum itu. Kebiasaannya ia bermula daripada konsep keturunan dan turun temurun dari nenek moyang mereka.

Pengkelasan etnik boleh dilakukan melalui perbezaan budaya. Budaya boleh di lihat melalui aktiviti yang terdapat dipersekitarannya seperti kesenian, barang, makanan, tarian dan sebagainya. Dua kategori besar budaya dikelaskan kepada budaya kebendaan dan budaya bukan kebendaan. Jika dilihat daripada budaya kebendaan, orang Melayu mempunyai bentuk rumah yang berbeza daripada orang Iban di Sarawak. Melalui kebudayaan bukan kebendaan pula boleh dilihat dari segi kepercayaan dan undang – undang. Contoh paling ketara ialah adat perkahwinan dalam masyarakat India iaitu hantaran atau dowri akan dihantar oleh pihak perempuan manakala bagi masyarakat Melayu, hantaran akan di hantar oleh pihak lelaki.

Selain itu kumpulan etnik boleh dikelaskan mengikut demografinya iaitu mengikut kedudukan geografi dan sempadan negeri. Contoh di Sabah dan Sarawak terdapat pelbagai kumpulan etnik pada kumpulan yang berbeza. Kaum Bajau lebih banyak tinggal di bahagian pantai barat Sabah manakala kaum Murut banyak didapati dikawasan pedalaman dan tenggara Sabah.

b) Kumpulan Gender

Kumpulan ini menjelaskan mengenai perbezaan antara lelaki dan perempuan didalam isi rumah yang sama dan di antara budaya di mana dari segi sosial dan budayanya dibentuk mengikut perubahan masa. Perbezaan yang ketara itu akan memberi impak yang besar dalam memainkan peranan, tanggungjawab, jangkaan dan hak kesamaan terutamanya terhadap sumber, peluang kekayaan dan persepsi yang dipegang oleh lelaki dan wanita. Gender bukanlah merupakan sesuatu yang sinonim pada wanita walhal ianya merupakan satu pertimbangan yang digunakan dan saling bergantung antara lelaki dan perempuan.
Walau bagaimanapun, gender sering dikelirukan dengan jantina. Jantina adalah perbezaan antara wanita dan lelaki dari segi biologi dan struktur autonominya iaitu organ luaran, organ dalaman dan perkembangan sekunder wanita sewaktu baligh. Manakala gender merujuk kepada peranan dan jangkaan yang selalu dikaitkan sebagai punca utama perbalahan wanita dalam kesamaan hak dan status dalam kehidupan. Antara isu lain yang sering ditimbulkan adalah taraf hidup, keluarga, status ekonomi dan kesihatan.

Ciri-ciri gender terbentuk secara sosial yang mengaitkan cara hidup dan tingkah laku lelaki dan perempuan dalam erti yang lebih khusus. Lakaran simbol budaya, konsep normatif, struktur institusi dan imej dalaman dirujuk dalam proses pembinaan peranan sifat kelakian dan kewanitaan seseorang itu. Jangkaan dalam fungsi perbezaan gender boleh membezakan keperluan semasa penekanan kuasa dalam perhubungan dan ianya boleh berubah dari masa ke semasa dan selalunya berdasarkan perbezaan sosial dan budaya.

c) Kumpulan Budaya

            Secara amnya, budaya atau dalam Bahasa Inggeris disebut sebagai culture membawa maksud cara hidup manusia. Ia termasuk perkembangan dari segi sahsiah, akal, semangat dan usaha manusia dalam kelompoknya. Ianya terserlah apabila perkataan budaya itu berasal daripada perkataan ’budi’ dan ’daya’ iaitu budi mewakili aspek dan nilai seseorang (aspek dalaman) manakala daya merupakan usaha dan hasil dari usaha seseorang (aspek luaran)

Ciri – ciri utama budaya adalah :-
1.         Budaya merupakan perkongsian suatu masyarakat

Persamaan norma, nilai dan cara adalah yang paling sesuai bagi menerangkan tentang perkongsian hidup dalam masyarakat. Norma sesebuah masyarakat boleh diukur melalui peraturan sosialnya seperti contoh, penentuan satu tingkah laku itu diterima atau tidak dalam sesuatu situasi sama ada secara formal atau tidak formal.

Budaya juga mempunyai nilai yang berbeza – beza dalam membuat andaian dan sebagai kayu ukur penilaian bagi satu bahan, maklumat dan situasi. Dalam hal pengawalan juga berbeza terutamanya dalam aspek ganjaran dan hukuman sesuatu kesalahan.

            2.         Budaya tidak dapat dipisahkan dengan bahasa.

            Bahasa boleh digunakan untuk mengenal pasti mahupun membezakan budaya sesebuah masyarakat itu. Ini adalah kerana setiap kelompok masyarakat yang sama mempunyai pemahaman dan penggunaan bahasa yang sama. Ada juga setengahnya terletak di kawasan yang sama atau berhampiran antara satu sama lain. Seperti contoh, dalam budaya Melayu banyak perkataan seperti kepit, bimbit gelas menunjukkan orang Melayu banyak menggunakan tenaga.

            3.         Budaya diperolehi daripada proses pembelajaran.

            Budaya dipelajari melalui penurunan ilmu oleh nenek moyang secara turun temurun. Ia juga sudah menjadi sebahagian dari tatacara hidup mahupun tingkah laku yang perlu dilakukan oleh individu yang menjadi sebahagian daripada kelompok masyarakat itu. Seperti contoh, orang Melayu hendaklah menundukkan badan ketika berjalan di hadapan orang tua. Ilmu dan kebiasaan ini diajar melalui pendidikan tidak formal oleh ibu bapa atau nenek semenjak dari kecil lagi.

d) Kumpulan Sosioekonomi

Kumpulan ini mempunyai hubung kait antara aktiviti ekonomi dan sosial mereka. Teori-teori dan kaedah – kaedah sosiologi, ekonomi, sejarah dan psikologi banyak digunakan di dalam kumpulan ini yang selalunya fokus pada kesan sosial pada perubahan ekonomi. kesan-kesan sosioekonomi termasuk teknologi baru, perubahan undang-undang, perubahan persekitaran dan perubahan ekologi. Ini telah menyebabkan pengaruh perubahan pada corak penggunaan, pembahagian pendapatan dan kekayaan, sosial dan kualiti hidup.

Aspek – asspek status ekonomi yang berkaitan dengan sekolah dan masyarakat terutamanya dari segi penilaian terhadap pelajar – pelajar adalah keadaan sosioekonomi ibu bapa mereka termasuklah taraf pendidikan, pendapatan, pekerjaan dan sikap mereka.

Faktor sosioekonomi boleh mempengaruhi mehupun menjejaskan pertumbuhan pelajar walaupun sebenarnya pertumbuhan itu disebabkan oleh faktor baka dan keturunan. Namun begitu, jika kumpulan pelajar itu mempunyai taraf sosioekonomi yang rendah, mereka seperti tidak mendapat cukup zat pemakanan kerana keluarga hanya dapat memenuhi sedikit sahaja atau tidak langsung dapat dipenuhi sebagaimana yang diperlukan oleh seorang pelajar itu berbanding kumpulan pelajar dari keluarga bertaraf sosioekonominya tinggi. Jika zat makanan tidak dapat dipenuhi ia akan mengganggu tahap tumpuan dan perkembangan kognitif seseorang pelajar itu.

Pengaruh persekitaran akibat dari kemampuan ibu bapa pelajar yang rendah, dapat mempengaruhi cara hidup, daya kemampuan dan tahap pemahaman pelajar. Ia memberi pengaruh negatif kerana selalunya mereka berhadapan dengan konflik keluarga, pendekatan autoritarian dalam pendidikan anak-anak berbanding kumpulan pelajar sejak lahir telah hidup dalam kualiti persekitaran yang positif. Mereka lebih berdaya maju, bersikap optimistik dan positif.

SISTEM SEBELUM DAN SELEPAS MERDEKA


Sistem Persekolahan Sebelum Merdeka

Sistem persekolahan sebelum merdeka boleh juga disebut sebagai sekolah-sekolah yang wujud sebelum negara mencapai kemerdekaan pada 1957. Sistem ini telah dikawal sepenuhnya oleh pihak penjajah Inggeris. Tujuan utama di wujudkan sekolah dan sistem pendidikan pada waktu ini lebih kepada kepentingan politik pihak penjajah itu sendiri bukan bagi kebaikan rakyat tempatan. Ia juga dikenalpasti bertujuan agar perpaduan tidak wujud dikalangan rakyat Tanah Melayu
Ia  merupakan satu sistem vernakular yang tidak seragam, dimana rakyat dibahagi mengikut kaum, kepentingan dan fungsi ekonomi mereka. 4 jenis sekolah telah diwujudkan, antaranya Sekolah Melayu, Sekolah Cina, Sekolah India dan Sekolah Inggeris. Ciri-ciri utama sistem persekolahan ini adalah:-
1.         Sekolah-sekolah yang di dirikan adalah mengikut kaum : Sekolah Melayu untuk kaum Melayu, Sekolah Cina untuk kaum Cina dan Sekolah Tamil untuk kaum India. Manakala Sekolah Inggeris adalah untuk sekolah anak-anak pegawai British.
2.         Bahasa pengantar yang berbeza : tiada keseragaman bahasa antara sekolah-sekalah ketika itu iaitu Sekolah Melayu menggunakan Bahasa Melayu, Sekolah Cina menggunakan bahasa ibunda mereka begitu juga Sekolah Tamil menggunakan Bahasa Tamil.
3.         Sekolah terdapat dikawasan-kawasan tertentu sahaja : Di kampung-kampung adalah bagi kaum Melayu, pinggir bandar bagi kaum Cina dan di ladang-ladang bagi kaum India.
Pada waktu ini sekolah sudah dibahagikan kepada 2 peringkat persekolahan iaitu Pelajaran Rendah dan Pelajaran Menengah. Namun begitu terdapat lebih banyak sekolah rendah berbanding menengah kerana Sekolah Menengah diwujudkan untuk kepentingan penjajah sahaja.
Sekolah rendah yang wujud mempunyai pelbagai-bagai sistem pentadbiran yang tidak selaras. 4 jenis sekolah dan ciri – ciri mengikut kaum tersebut boleh dilihat seperti contoh dibawah :-
SEKOLAH
CIRI-CIRI
TUJUAN
Sekolah Melayu
1.      Di uruskan oleh pihak kerajaan
2.      Pendidikan adalah setakat peringkat rendah iaitu setakat darjah Enam sahaja.
3.      Tiada kemudahan yang lengkap disediakan.
4.      Terletak di kawasan kampung (luar bandar).
5.      Untuk lanjut pelajaran ke menengah perlu mengikuti Latihan Perguruan.
6.      Yang telah berjaya akan dimasukkan kedalam Darjah Khas Melayu (Special Malay Class) di sekolah Inggeris.
Mengekalkan cara hidup tradisional Melayu.
Orang Melayu tidak berpeluang memegang jawatan tinggi dan hanya sebagai pelayan pejabat sahaja.
Menjadikan anak Melayu petani dan nelayan yang lebih baik sedikit dari ibu bapa mereka.


Sekolah Cina
1.      Dikelolakan oleh masyarakat cina tempatan
2.      Pada asalnya tidak teratur dan belum selaras.
3.      Sukatan pelajaran di ambil dari negara China.
4.      Buku teks dan guru telah diimport dari China
5.      Terdapat sekolah rendah, menengah dan menengah atas.
·            Untuk mengurangkan pemberontakan dikalangan kaum Cina terhadap pemerintahan British.
·            Tumpuan pendidikan adalah untuk memupuk kesetiaan kepada Negara dan Maharaja China.
·            1920, Sekolah Cina di daftar dibawah Enakmen Pendaftaran Sekolah-sekolah – untuk elak enakmen komunis masuk.
Sekolah Tamil
1.      Terdapat diladang-ladang dan dikendalikan oleh pihak ladang dan mubaligh Kristian.
2.      Bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar
3.      Sukatan pelajaran dan buku teks di import dari India
4.      Terdapat sekolah peringkat rendah sahaja.
·            Pendidikan Tamil untuk mengekalkan anak-anak menjadi buruh diladang itu.
·            Enakmen Buruh 1912, telah mewajibkan pemilik ladang menyediakan sekolah bagi jika ada 10 anak pekerja yang layak bersekolah

Sekolah Inggeris
1.      Dapat perhatian dan bantuan kewangan dari British
2.      Diasaskan oleh kerajaan atau mubaligh Kristian
3.      Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar
4.      Terbuka kepada semua kaum namun jumlah kaum Melayu, Cina dan India tidak seimbang.
5.      Ada pelajaran peringkat rendah dan menengah
·            Memberi pendidikan formal kepada anak pegawai-pegawai British
·            Guna sekolah untuk menyebarkan agama Kristian.
·            Bagi memenuhi keperluan pentadbiran British (kerani) bila terbuka untuk kaum lain.



Namun begitu terdapat sedikit perubahan didalam sistem persekolahan ketika itu apabila Penyata Barnes keluar pada 1950 menyatakan ’pendidikan sekolah rendah adalah sebagai alat perpaduan masyarakat’. Pernyataan ini menyebabkan sistem pendidikan telah dikaji semula secara terperinci. Hasilnya satu sistem pendidikan kebangsaan wujud dan terbuka kepada semua kaum. Bahasa pengantar bagi sekolah kebangsaan ada dua iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Rentetan dari ini, Sekolah Cina dan Tamil dihapuskan.

Sistem Persekolahan Semasa
Sistem pendidikan telah mengalami perubahan yang pesat pada akhir abad ke 20. Ini adalah seiring dengan matlamat wawasan negara untuk menjadi negara yang membangun seterusnya mencapai status negara maju pada 2020. Perlaksanaan dasar pendidikan bermula dengan mengukuhkan asas perundangan bagi melaksanakan dasar dan akta pendidikan. Antaranya adalah :-
  1. Akta Pendidikan (1996) – menggantikan Akta Pelajaran 1961, memberi peruntukan kuasa kepada Menteri Pelajaran dan pengiktirafan institusi pra-sekolah.
  2. Akta Institusi Pendidikan Tinggi Negara 1996 – mempunyai matlamat menjadikan Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan.
  3. Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 – sebuah majlis telah ditubuhkan bagi menentukan dasar penyelarasan pembangunan pendidikan tinggi.
  4. Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (1996) – peruntukan pinjaman dan tabungan bagi meningkatkan tahap akses kepada pengajian tertiary.
  5. Akta Universiti Dan Kolej Universiti (Pindaan) 1996 – kerajaan memperluaskan autonominya dalam pengurusan bagi menentukan program yang akan ditawarkan dalam institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta.
  6. Akta Lembaga Akreditasi Negara 1996 – akta di wujudkan bagi memastikan tahap akademik yang tinggi, jaminan kualiti dan kawalan mutu pendidikan di pelihara. Disamping ia juga sebagai persediaan bagi pendidikan tinggi swasta.
  7. Akta Institut Teknologi MARA (Pindaan) 2000 – menaikkan taraf Institut Teknologi Mara kepada universiti.
  8. Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (Pindaan) 2000 – membenarkan pelajar-pelajar dari IPTA dan IPTS membuat pinjaman pendidikan melalui PTPTN.
Seperti yang telah sedia maklum, selepas kemerdekaan negara pada 1957, asas pendidikan menumpukan kepada matlamat perpaduan antara kaum di Malaysia. Namun begitu, perubahan yang ketara daripada penggubalan akta-akta seperti diatas telah menjadikan sistem pendidikan negara menghala ke arah satu tujuan yang baru iaitu :-
  1. Pengaksesan kepada pengajian peringkat tertiary khususnya menjadi lebih mudah. Ia telah menjadikan lebih ramai rakyat Malaysia berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti awam mahupun swasta.
  2. Selaras dengan pembangunan dan perkembangan ICTdalam pendidikan yang pesat, kerajaan telah mewujudkan Sekolah Bestari.
  3. Kelayakan menjadi seorang guru juga telah dinaikkan taraf daripada hanya sijil kepada diploma bagi mencapai teras kualiti pendidikan di sekolah.
  4. Ekuti pendidikan diambil perhatian dengan menaikkan taraf Institusi Pendidikan Sultan Idris kepada universiti.
  5. Kemudian semua sekolah – sekolah Vokasional di negara ini naik taraf kepada Sekolah Menengah Teknik.
Selaras dengan perubahan-perubahan yang berlaku akibat penggubalan banyak akta, sistem persekolah masa kini juga telah mengalami peralihan. Jika sebelum ini pendidikan hanya diperoleh melalui Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Dan Sekolah Teknik Dan Vokasional, berikut adalah senarai sekolah yang bertambah akibat pembangunan dan perkembangan pesat dalam pendidikan.
Bil
Jenis – Jenis Sekolah
Sistem Persekolahan / Ciri-Ciri Sekolah
1
Sekolah Kebangsaan
-          Menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
-          Terdapat Sekolah Menengah Kebangsaan dan Sekolah Rendah Kebangsaan.
-          Tidak ada had kaum mahupun tahap pendidikan pelajar
-          Bilangannya banyak di seluruh negara.
2
Sekolah Kluster
-          Sekolah yang telah dikenalpasti cemerlang dari segi aspek pengurusan sekolah mahupun tahap sahsiah dan akademik pelajar.
-          Tujuan sekolah ini diwujudkan adalah sebagai motivasi kepada sekolah dan sekolah luar dari kluster untuk terus membangun dan berusaha menjadi sekolah cemerlang.
3
Sekolah Jenis Kebangsaan
-          Menggunakan Bahasa Cina atau Tamil sebagai bahasa pengantar disekolah.
-          Namun begitu ia hanya wujud bagi sekolah peringkat rendah sahaja.
-          Walaubagaimanapun had kaum tidak ditetapkan. Kaum Melayu juga bebas jika memilih untuk belajar di sekolah jenis kebangsaan ini. Begitu juga kaum Cina ke sekolah Tamil dan sebaliknya.
4
Sekolah Wawasan
-          Beberapa sekolah awam, berkongsi kemudahan yang sama dalam satu kawasan Sekolah Wawasan
-          Menggalakkan interaksi yang rapat antara kaum
-          Namun begitu dapat bantahan kaum India dan Cina kerana mereka berpendapat penggunaan bahasa ibunda masing-masing akan menjadi terhad.
5
Sekolah Agama Islam
-          Pilihan alternatif bagi ibu bapa atau pelajar yang ingin mendalami ilmu agama islam dengan lebih banyak dan terperinci.
-          Antara sekolah agama wujud ketika ini adalah sekolah pondok. Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Agama (SMA), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Maahad Tahfiz.
6
Sekolah mubaligh
-          Sekolah ini diwujudkan oleh mubaligh Kristian contoh Persatuan Gereja Anglican Sarawak.
-          407 buah sekolah mubaligh bantuan kerajaan di seluruh malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
-          Contoh sekolah di Sabah adalah SMK St. Mary Sandakan.
7
Sekolah Bestari
-          Menerapkan penggunaan komputer dan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P)
-          Projek perintis dilakukan selama 3 tahun. Contoh sekolah bestari adalah SMKA Tengku Ampuan Hajjah Afzan, Pahang
-          Kerajaan menitik beratkan penggunaan IT di sekolah dan antara bantuan yang diberikan adalah persediaan makmal IT, Bilik Server, database server dan lain-lain.
8
Sekolah Teknik Dan Vokasional
-          Sekolah peringkat menengah yang memberi peluang kepada pelajar yang meminati bidang sains dan teknologi dan mempersiapkan pelajar bagi memenuhi tenaga kerja dalam bidang industri.
-          Sekolah teknik menumpukan pada bidang kejuruteraan.
-          Sekolah vokasional menumpukan pelajar kepada bidang kemahiran seperti kemahiran pertukangan dan pengendalian mesin.
-          Program di tawarkan menjadikan pelajar potensi menjadi separa professional atau professional dalam bidang teknikal dan kejuruteraan.
9
Sekolah Berasrama Penuh (SBP)
-          sekolah menengah perdana yang ditawarkan kepada pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan PMR.
-          Terdapat 54 buah sekolah semenjak 1894.
-          Antara yang terkenal adalah MCKK, Sekolah Seri Puteri, Sekolah Tun Fatimah, Sekolah STAR dan SMS Sultan Mohamad Jiwa.