Thursday, February 2, 2012

KUMPULAN SOSIAL MALAYSIA

Guru juga terdiri daripada bangsa dan latar belakang yang berbeza. persamaa kami adalah mendidik anak bangsa sehingga berjaya

Terdapat kumpulan-kumpulan yang berinteraksi antara satu sama lain. Setiap kumpulan mempunyai ciri-ciri yang mempunyai perbezaan dengan kumpulan lain. Perbezaan dan persamaan antara kumpulan dengan kumpulan lain. Perbezaan dan persamaan antara kumpulan membolehkan interaksi sosial berlaku dengan dinamik. Huraikan ciri-ciri perbezaan antara kumpulan-kumpulan sosial berikut :

a) Kumpulan Etnik

Istilah etnik datang daripada bahasa Yunani iaitu Etnos yang membawa maksud orang. Satu kumpulan etnik di tafsirkan secara sosial berdasarkan ciri-ciri budayanya. Kemudian ia mempunyai sifat etnisiti yang mempunyai sikap kekitaan yang kuat dimana masyarakatnya di satukan dengan satu ikatan sejarah, sikap, nilai dan tingkah laku yang sama.

Setiap satu etnik dapat dibezakan dalam ciri-ciri budaya seperti adat resam, pola keluarga atau latar belakang susul galur nenek moyang , pakaian, bahasa tradisi, pandangan tentang kecantikan, orientasi politik, kegiatan ekonomi, struktur adat istiadat dan hiburan.

Contoh kumpulan etnik yang terdapat di Malaysia adalah Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun, Melanau dan Iban. Pada dasarnya setiap kumpulan etnik ini bersikap etnosentrik iaitu menganggap ciri-ciri dan amalan budaya mereka sebagai wajar, betul dan lebih utama berbanding etnik yang lain. Kadangkala mereka akan memandang budaya etnik lain sebagai bernilai rendah, tidak penting, ganjil dan tidak bermoral. Namun begitu, kumpulan – kumpulan ini di satukan dibawah sistem politik yang sama dimana penerapan budaya hormat - menghormati dan perpaduan telah berjaya menghapuskan sikap mementingkan kaum sendiri dan menghina kumpulan etnik yang lain.

Kumpulan-kumpulan etnik juga boleh di bezakan melalui ciri – ciri rasnya iaitu ciri – ciri fizikal dalam kelompok manusia. Ciri – ciri paling ketara bagi membezakan sesuatu kumpulan etnik itu adalah warna kulit. Seperti contoh orang Melayu mempunyai kulit sawo matang manakala orang Cina mempunyai kulit yang cerah.

Etnik, menurut kamus dewan boleh ditafsirkan sebagai bangsa manusia dimana ia tidak memaksa perubahan terhadap kepercayaan agama atau unsur sesuatu kaum itu. Kebiasaannya ia bermula daripada konsep keturunan dan turun temurun dari nenek moyang mereka.

Pengkelasan etnik boleh dilakukan melalui perbezaan budaya. Budaya boleh di lihat melalui aktiviti yang terdapat dipersekitarannya seperti kesenian, barang, makanan, tarian dan sebagainya. Dua kategori besar budaya dikelaskan kepada budaya kebendaan dan budaya bukan kebendaan. Jika dilihat daripada budaya kebendaan, orang Melayu mempunyai bentuk rumah yang berbeza daripada orang Iban di Sarawak. Melalui kebudayaan bukan kebendaan pula boleh dilihat dari segi kepercayaan dan undang – undang. Contoh paling ketara ialah adat perkahwinan dalam masyarakat India iaitu hantaran atau dowri akan dihantar oleh pihak perempuan manakala bagi masyarakat Melayu, hantaran akan di hantar oleh pihak lelaki.

Selain itu kumpulan etnik boleh dikelaskan mengikut demografinya iaitu mengikut kedudukan geografi dan sempadan negeri. Contoh di Sabah dan Sarawak terdapat pelbagai kumpulan etnik pada kumpulan yang berbeza. Kaum Bajau lebih banyak tinggal di bahagian pantai barat Sabah manakala kaum Murut banyak didapati dikawasan pedalaman dan tenggara Sabah.

b) Kumpulan Gender

Kumpulan ini menjelaskan mengenai perbezaan antara lelaki dan perempuan didalam isi rumah yang sama dan di antara budaya di mana dari segi sosial dan budayanya dibentuk mengikut perubahan masa. Perbezaan yang ketara itu akan memberi impak yang besar dalam memainkan peranan, tanggungjawab, jangkaan dan hak kesamaan terutamanya terhadap sumber, peluang kekayaan dan persepsi yang dipegang oleh lelaki dan wanita. Gender bukanlah merupakan sesuatu yang sinonim pada wanita walhal ianya merupakan satu pertimbangan yang digunakan dan saling bergantung antara lelaki dan perempuan.
Walau bagaimanapun, gender sering dikelirukan dengan jantina. Jantina adalah perbezaan antara wanita dan lelaki dari segi biologi dan struktur autonominya iaitu organ luaran, organ dalaman dan perkembangan sekunder wanita sewaktu baligh. Manakala gender merujuk kepada peranan dan jangkaan yang selalu dikaitkan sebagai punca utama perbalahan wanita dalam kesamaan hak dan status dalam kehidupan. Antara isu lain yang sering ditimbulkan adalah taraf hidup, keluarga, status ekonomi dan kesihatan.

Ciri-ciri gender terbentuk secara sosial yang mengaitkan cara hidup dan tingkah laku lelaki dan perempuan dalam erti yang lebih khusus. Lakaran simbol budaya, konsep normatif, struktur institusi dan imej dalaman dirujuk dalam proses pembinaan peranan sifat kelakian dan kewanitaan seseorang itu. Jangkaan dalam fungsi perbezaan gender boleh membezakan keperluan semasa penekanan kuasa dalam perhubungan dan ianya boleh berubah dari masa ke semasa dan selalunya berdasarkan perbezaan sosial dan budaya.

c) Kumpulan Budaya

            Secara amnya, budaya atau dalam Bahasa Inggeris disebut sebagai culture membawa maksud cara hidup manusia. Ia termasuk perkembangan dari segi sahsiah, akal, semangat dan usaha manusia dalam kelompoknya. Ianya terserlah apabila perkataan budaya itu berasal daripada perkataan ’budi’ dan ’daya’ iaitu budi mewakili aspek dan nilai seseorang (aspek dalaman) manakala daya merupakan usaha dan hasil dari usaha seseorang (aspek luaran)

Ciri – ciri utama budaya adalah :-
1.         Budaya merupakan perkongsian suatu masyarakat

Persamaan norma, nilai dan cara adalah yang paling sesuai bagi menerangkan tentang perkongsian hidup dalam masyarakat. Norma sesebuah masyarakat boleh diukur melalui peraturan sosialnya seperti contoh, penentuan satu tingkah laku itu diterima atau tidak dalam sesuatu situasi sama ada secara formal atau tidak formal.

Budaya juga mempunyai nilai yang berbeza – beza dalam membuat andaian dan sebagai kayu ukur penilaian bagi satu bahan, maklumat dan situasi. Dalam hal pengawalan juga berbeza terutamanya dalam aspek ganjaran dan hukuman sesuatu kesalahan.

            2.         Budaya tidak dapat dipisahkan dengan bahasa.

            Bahasa boleh digunakan untuk mengenal pasti mahupun membezakan budaya sesebuah masyarakat itu. Ini adalah kerana setiap kelompok masyarakat yang sama mempunyai pemahaman dan penggunaan bahasa yang sama. Ada juga setengahnya terletak di kawasan yang sama atau berhampiran antara satu sama lain. Seperti contoh, dalam budaya Melayu banyak perkataan seperti kepit, bimbit gelas menunjukkan orang Melayu banyak menggunakan tenaga.

            3.         Budaya diperolehi daripada proses pembelajaran.

            Budaya dipelajari melalui penurunan ilmu oleh nenek moyang secara turun temurun. Ia juga sudah menjadi sebahagian dari tatacara hidup mahupun tingkah laku yang perlu dilakukan oleh individu yang menjadi sebahagian daripada kelompok masyarakat itu. Seperti contoh, orang Melayu hendaklah menundukkan badan ketika berjalan di hadapan orang tua. Ilmu dan kebiasaan ini diajar melalui pendidikan tidak formal oleh ibu bapa atau nenek semenjak dari kecil lagi.

d) Kumpulan Sosioekonomi

Kumpulan ini mempunyai hubung kait antara aktiviti ekonomi dan sosial mereka. Teori-teori dan kaedah – kaedah sosiologi, ekonomi, sejarah dan psikologi banyak digunakan di dalam kumpulan ini yang selalunya fokus pada kesan sosial pada perubahan ekonomi. kesan-kesan sosioekonomi termasuk teknologi baru, perubahan undang-undang, perubahan persekitaran dan perubahan ekologi. Ini telah menyebabkan pengaruh perubahan pada corak penggunaan, pembahagian pendapatan dan kekayaan, sosial dan kualiti hidup.

Aspek – asspek status ekonomi yang berkaitan dengan sekolah dan masyarakat terutamanya dari segi penilaian terhadap pelajar – pelajar adalah keadaan sosioekonomi ibu bapa mereka termasuklah taraf pendidikan, pendapatan, pekerjaan dan sikap mereka.

Faktor sosioekonomi boleh mempengaruhi mehupun menjejaskan pertumbuhan pelajar walaupun sebenarnya pertumbuhan itu disebabkan oleh faktor baka dan keturunan. Namun begitu, jika kumpulan pelajar itu mempunyai taraf sosioekonomi yang rendah, mereka seperti tidak mendapat cukup zat pemakanan kerana keluarga hanya dapat memenuhi sedikit sahaja atau tidak langsung dapat dipenuhi sebagaimana yang diperlukan oleh seorang pelajar itu berbanding kumpulan pelajar dari keluarga bertaraf sosioekonominya tinggi. Jika zat makanan tidak dapat dipenuhi ia akan mengganggu tahap tumpuan dan perkembangan kognitif seseorang pelajar itu.

Pengaruh persekitaran akibat dari kemampuan ibu bapa pelajar yang rendah, dapat mempengaruhi cara hidup, daya kemampuan dan tahap pemahaman pelajar. Ia memberi pengaruh negatif kerana selalunya mereka berhadapan dengan konflik keluarga, pendekatan autoritarian dalam pendidikan anak-anak berbanding kumpulan pelajar sejak lahir telah hidup dalam kualiti persekitaran yang positif. Mereka lebih berdaya maju, bersikap optimistik dan positif.

No comments:

Post a Comment